Thursday, October 25, 2012

Eddy Helmi Terima Tawaran Jang

SELEPAS memerah keringat selama 12 tahun beraksi untuk Johor FC yang kini dikenali Johor pada saingan Liga Super, akhirnya Eddy Helmi Abd Manan mengambil keputusan menerima tawaran beraksi untuk Negeri Sembilan pada saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata sudah tiba masanya dia beralih angin dengan pasukan Hoben Jang Hoben selepas agak lama beraksi bersama pasukan bertaraf kelab lebih terarah kepada mencari pengalaman baru.

“Saya akan menyertai Negeri Sembilan musim depan dan segala urusan menandatangani kontrak bakal dibuat tidak lama lagi. Buat masa ini hanya saya dari Johor FC akan beraksi dengan pasukan luar.
“Apapun saya berterima kasih kepada pengurusan lama yang memberi kepercayaan untuk beraksi selama 12 tahun dengan mereka. Malah saya sendiri agak sedih apabila terpaksa berhijrah ke Negeri Sembilan tapi sebagai pemain profesional, saya harus berani menimba pengalaman jika mahu memajukan diri dalam bola sepak.

“Sepanjang 175 penampilan bersama Johor FC, banyak kenangan pahit dan manis. Saya juga berjaya menjaringkan 35 gol dan berharap penampilan saya bersama pasukan baru akan beri lebih keyakinan untuk beraksi lebih konsisten,” katanya.

Mengulas kehadiran beberapa pemain berstatus bintang termasuk pemain kembar Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd Radzak yang bakal beraksi untuk Johor , Eddy Helmi menganggap tindakan itu Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sesuatu yang baik dalam usaha memartabatkan kembali bola sepak Johor.
Katanya, saingan Liga Super musim depan pasti lebih sengit selepas Johor turut dibarisi pemain berkualiti manakala Negeri Sembilan yang kemungkinan dibimbing jurulatih dari Portugal dan pernah membimbing pasukan Liga Indonesia, Persebaya, pasti menghangatkan lagi kancah saingan Liga M.

“Saya tetap menghormati Johor namun apabila bertemu dengan Negeri Sembilan pada saingan Liga Super nanti, sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik untuk majikan saya dengan memastikan kemenangan,” kata Eddy Helmi.


#credit to mymetro

No comments:

Post a Comment