Thursday, October 25, 2012

‘Hafizh Perlu Kekal’

KESETIAAN Hafizh Syahrin Abdullah dengan pasukan Petronas Raceline Malaysia, teruji seketika apabila Team Aspar, pasukan yang bersaing dalam siri Kejuaraan Motosikal Dunia, dikatakan berminat mendapatkan pelumba berusia 18 tahun itu.
Namun ketika Hafizh mendapat perkhabaran menggembirakan itu, bapanya, Abdullah Harun seboleh-bolehnya mahukan anak kesayangannya itu kekal bersama Petronas, syarikat gergasi yang sudah menajanya sejak awal pembabitan dalam sukan permotoran.

Sebagai bapa, naluri Abdullah kuat menyatakan sekiranya Hafizh menerima tawaran untuk beraksi bersama Aspar, kariernya tidak secerah diharapkan kerana beliau sedar perancangan Petronas sudah cukup cantik untuk anaknya itu.
“Saya sebenarnya tidak berapa tahu mengenai tawaran itu, tapi saya rasa andai Hafizh beraksi pada musim penuh dengan begitu cepat, katalah tahun depan, dia tidak akan dapat menunjukkan kemampuannya yang sebenar.

“Sebab pada penilaian kami, Hafizh sekadar berada pada kelompok 15 pelumba terbaik ketika ini sekiranya bersaing di Moto2, bukan pesaing di depan.

“Mengikut perancangan, Hafizh memang akan beraksi pada musim penuh, tapi bukan sekadar pelumba yang melengkapkan saingan, sebaliknya bersaing untuk merebut kejuaraan.
“Jadi, dia memerlukan masa sekurang-kurangnya satu atau dua tahun lagi atau pendek kata sehingga 2014, sebelum dia benar-benar bersedia untuk beraksi semusim penuh di Moto2,” katanya.

Abdullah menghargai minat Aspar terhadap anaknya itu, tapi menegaskan, meskipun pasukan itu mempunyai pengalaman luas dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, situasi semasa menunjukkan mereka bukanlah pasukan terbaik.
“Industri permotoran ketika ini tertumpu kepada syarikat gergasi Asia berbanding Eropah untuk mendapatkan penajaan kerana masalah ekonomi di benua itu. Jadi mengapa Hafizh perlu bertukar ke pasukan lain sedangkan Petronas, satu jenama yang kukuh dari Asia terus setia mahu menajanya,” katanya.

Abdullah ditemui pada majlis makan tengahari yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Hafizh serta pelumba Formuma BMW, Muhammad Nabil Jan Al-Jeffri semalam.

Akhbar semalam melaporkan Team Aspar, pasukan dari Sepanyol berminat mendapatkan khidmat Hafizh yang mempamerkan aksi cemerlang pada Grand Prix Motosikal Malaysia, Ahad lalu apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas hanya bermula dari petak ke-27.

Sementara itu, pengurus pasukan, Barry Leong mengakui ada menerima panggilan daripada pihak Aspar yang menyatakan minat mendapatkan Hafizh.

“Benar, kami ada berbincang mengenai Hafizh, tetapi ia hanyalah sekadar perbincangan biasa dan tiada perkara yang lebih mendalam.

“Saya beritahu mereka jika benar serius mahukan Hafizh, mereka perlu kemukakan kertas cadangan mengenai perancangan masa depan Hafizh “Saya sentiasa bersikap terbuka, tapi apapun, keutamaan Hafizh ketika ini adalah bersama Petronas Raceline Malaysia dan kami juga sudah mempunyai perancangan tersusun untuknya,” katanya.


#credit to mymetro

No comments:

Post a Comment