Thursday, October 25, 2012

KBS Usul Bina Litar ‘Drag’ RM15 juta

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan membina sebuah litar bagi perlumbaan ‘drag’ membabitkan kos sebanyak RM15 juta dalam usaha menjadikan sukan permotoran negara ini lebih profesional.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Kabinet sudah meluluskan pembinaan litar itu dua minggu lalu bagi memastikan aspek keselamatan perlumbaan ekstrem itu lebih sistematik.

“Kementerian mendapat kelulusan Kabinet berhubung pembinaan litar perlumbaan drag itu membabitkan laluan sepanjang 800 meter. Kami mencadangkan agar dibina empat litar drag. “Setakat ini hanya satu yang lulus. Mengikut perancangan awal, litar itu akan dibina di Lembah Klang,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah dan pelumba Formula BMW Muhammad Nabil Jan Al-Jeffri di Seri Kembangan, semalam.
Ahmad Shabery berkata pembinaan litar sistematik itu bertujuan mengelak insiden kemalangan seperti yang berlaku semasa perlumbaan drag pada Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya, Jun lalu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata kementerian bersetuju memberi elaun kepada pelumba sukan permotoran yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seperti yang dinikmati atlet lain Malaysia. “Kami akan lihat kategori dan bentuk sokongan yang akan diberikan kepada pelumba seperti Hafizh, Zulfahmi (Khairuddin dari Moto3) dan Nabil bagi mengurangkan beban mereka.

“Sebelum ini, kebajikan mereka (pelumba sukan permotoran negara) 100 peratus bergantung kepada penaja,” katanya.
Pada perlumbaan Motosikal Grand Prix Malaysia hujung minggu lalu, Zulfahmi melakar sejarah negara dengan meraih tempat kedua bagi kategori Moto3 manakala pelumba ‘wild card’ Hafizh Syahrin di tempat keempat bagi kategori Moto2. - Bernama


#credit to mymetro

No comments:

Post a Comment